Total Pageviews

Wednesday, February 16, 2011

Sambutan Maulidur Rasul di BJ (2011)

Maulidur Rasul Bukit Jelutong meriah



SHAH ALAM 15 Feb. – Kira-kira 700 umat Islam termasuk murid dan pelajar sekolah menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Bukit Jelutong di sini semalam.

Perarakan selama kira-kira 30 minit itu melibatkan jarak hampir 500 meter bermula dari Kompleks D’Bayu dan berakhir di Masjid Bukit Jelutong.

Sepanjang perarakan itu, para peserta bersama-sama mengalunkan bacaan selawat memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sambutan kemudian diteruskan dengan alunan merdu burdah dan qasidah oleh jemaah Masjid Bukit Jelutong dan Maahad Tahfiz Wal Taklim selepas selesai solat maghrib.

Pengerusi Masjid Bukit Jelutong, Zainul Mohd. Diyar berkata, sambutan yang diadakan buat kali kedua lebih meriah berbanding tahun lalu dengan penyertaan pelajar sekolah di sekitar Bukit Jelutong.

“Penglibatan murid dan pelajar dari tiga sekolah iaitu Sekolah Rendah Agama Bukit Jelutong, Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jelutong telah menyemarakkan lagi semangat penduduk.

“Sambutan kali ini juga diharapkan mengeratkan lagi hubungan sesama penduduk walaupun terdiri daripada berlainan fahaman politik,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis perarakan itu.

Sementara itu, pengerusi jawatankuasa penganjur majlis, Hadarul Hasuat berkata, tujuan sambutan tahun ini diadakan lebih awal untuk menarik golongan remaja lebih menghayati tarikh kelahiran Rasulullah.

Katanya, ia juga bagi mengelakkan mereka terjebak menyambut Hari Kekasih ciptaan Barat.

Dipetik dari Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment